Bayar Zakat Fitrah Online
Menjelang hari raya Aidilfitri, semua muslim bergembira. Namun, dalam bergembira, jangan lupa untuk bayar zakat fitrah online jika anda masih belum melakukannya pada hari-hari terakhir bulan Ramadan. Ia menjadi tanggungjawab setiap Muslim lelaki dan perempuan untuk menunaikan kewajiban ini kerana ada juga golongan kurang bernasib baik yang mungkin tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna disebabkan kekangan kewangan.
Apakah Sebenarnya Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah bayaran wajib oleh muslim yang perlu dibuat sebelum atau di pengakhiran bulan Ramadan yang merupakan sejenis aktiviti sedekah. Biasanya zakat ini dibayar kepada pegawai kutipan zakat negeri, ataupun amil lantikan sah, secara fizikal. Namun pada zaman moden ini anda juga boleh membuat bayaran secara online.
Bayaran zakat fitrah mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun yang sama umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Tujuannya adalah untuk menyucikan diri daripada perbuatan dan kata-kata buruk yang mungkin kita lakukan semasa berpuasa. Di samping itu, hasil kutipan pula digunakan untuk menyempurnakan sambutan Aidilfitri buat golongan yang layak menerima bantuan seperti golongan fakir miskin dan yang kurang bernasib baik.
Oleh kerana zakat fitrah berkait rapat dengan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, maka waktu untuk membayar zakat ini juga adalah pada waktu tertentu dan jangka masanya agak pendek. Menurut Imam Syafi'i, pembayaran boleh mula dibuat pada hari pertama bulan Ramadan. Namun, adalah lebih afdal jika ianya dikeluarkan pada dua hari terakhir bulan Ramadan. Waktu terakhir untuk membayar zakat adalah selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan (jatuh wajib sudah dibayar zakat) sementara adalah haram untuk membayarnya selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri.
Jika anda mahu membuat bayaran zakat fitrah dengan cepat dan mudah pada dua hari terakhir bulan Ramadan, cara paling senang adalah dengan membayarnya secara online atau atas talian.
Fatwa Mengenai Kewajiban Mengeluarkan Zakat Fitrah
Jumhur Ulama telah mengeluarkan fatwa mengenai hal ini berdasarkan dalil dan hadith yang berkaitan. Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha' kurma atau satu sha' gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin."
Daripada sabda Rasulullah SAW, dilihat bahawa zakat fitrah ialah sesuatu yang diwajibkan ke atas semua umat Islam, termasuk kanak-kanak dan hamba sahaya, baik lelaki dan perempuan. Jika kanak-kanak tersebut mempunyai harta sendiri, zakat diambil dari hartanya. Jika tiada harta sendiri, kewajiban membayar zakat bagi seorang anak kecil jatuh kepada orang yang memberi nafkah kepadanya, seperti ibu bapa atau penjaga.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke 116/2019 juga telah memutuskan bahawa dibolehkan jika pembayar zakat dibayar online atau secara atas talian. Syarat wajib yang ditetapkan iaitu:
- Seseorang yang mempunyai makanan atau hartanya lebih daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi Aidilfitri.
- Seorang anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan.
- Seorang mualaf yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
Kadar Bayaran Zakat Fitrah
Kadar bayaran bagi zakat fitrah tidak sama cara kiraannya seperti bayaran jenis-jenis zakat yang lain. Ianya tidak dikira mengikut peratus harta dan adalah sama kadarnya bagi setiap umat Islam yang mampu. Kadar bagi zakat ini bagi seorang adalah berasaskan beras seberat satu "gantang Baghdad" iaitu sebanyak 2.7kg beras atau senilai dengannya.
Pada tahun 2022, kadar yang telah diselarikan bagi nilai terendah wajib bayar adalah sebanyak RM7. Walau bagaimanapun, sesetengah negeri menyenaraikan 3 peringkat kadar bayaran berdasarkan harga dan gred beras semasa.
Cara Bayar Online
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pembayaran zakat tidak disyaratkan pada ijab dan kabul. Pembayaran online sebenarnya sah jika cukup syarat iaitu niat, mempunyai hak pemilikan terhadap harta, dan adanya berlaku penyerahan dan penerimaan barang.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke 116/2019 juga telah memutuskan bahawa dibolehkan jika pembayar zakat dibayar online atau secara atas talian. Di masa yang sama, tentu sekali dibolehkan untuk zakat fitrah dibayar seperti biasa iaitu kepada mana-mana amil zakat yang membuka kaunter pungutan zakat. Sama ada di kaunter atau atas talian/online, memang mudah sekali untuk membayar zakat fitrah jadi jangan lupa untuk jalankan tanggungjawab anda sebelum tarikh 1 Syawal yang berikutnya.