Nisab Zakat KWSP
Jadual nisab zakat KWSP mengikut tahun dan bulan dengan harga yang ditetapkan.
Kira Zakat KWSP
Pengiraan zakat KWSP boleh dilakukan melalui kalkulator yang disediakan dengan memasukkan jumlah pengeluaran dari KWSP.
Perlukah Bayar Zakat KWSP / EPF?
Wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) adalah sebahagian daripada hasil pendapatan seorang pekerja yang disimpan di dalam akaun simpanan pekerja, tertakluk di bawah akta KWSP. Skim Pengeluaran yang diperkenalkan oleh KWSP adalah tertakluk kepada Zakat Harta yang sepatutnya ditunaikan oleh pencarum setelah harta itu dikeluarkan.
Wang yang masih dalam tempoh simpanan tidak dikirakan zakat, kerana ia masih belum cukup syarat; iaitu belum milik sempurna.
Setelah wang tersebut dikeluarkan bermakna ia telah cukup syarat di mana ia telah menjadi milik pencarum sepenuhnya. Oleh kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, maka KWSP juga dikenakan zakat.
Fatwa Hukum Bayar Zakat KWSP
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-74 telah bersidang pada Julai 2006 dan telah memutuskan bahawa wang KWSP adalah harta simpanan maka zakat wajib dikenakan apabila ia dikeluarkan dan sempurna kedua-dua syarat tersebut.
Pencarum digalakkan mengeluarkan zakat sejurus mengeluarkan wang KWSP jika cukup nisab tanpa menunggu haul setahun.
Jenis-jenis & Kiraan Zakat KWSP
Sebelum mencapai usia 55 tahun (pemilikan belum sempurna)
2.5% dari jumlah pengeluaran wang KWSP diwajibkan zakat. Jika jumlah pengeluaran dibawah nisab, hendaklah ditambah dengan pendapatan lain.
Setelah mencapai usia 55 tahun (pemilikan sempurna)
2.5% ke atas keseluruhan wang KWSP dizakatkan seperti kaedah zakat simpanan, maka tiada lagi tolakan caruman KWSP pada taksiran zakat pendapatan buat yang masih bekerja.