Zakat Pendapatan
21 April 2026 | Admin Zakat Anda | 3 min bacaan

Zakat Pendapatan

Seorang Muslim yang cukup syarat wajib membayar zakat pendapatan setiap tahun ke atas segala perolehan wang atau gaji untuk tahun itu.

Zakat Pendapatan

Seorang Muslim, apabila cukup syarat wajib baginya, perlu membayar zakat pendapatan setiap tahun ke atas segala perolehan wang atau gaji untuk tahun itu. Malahan, kepentingan membayar zakat dapat dilihat dalam Rukun Islam sendiri, iaitu Rukun Islam keempat: Kewajiban membayar zakat (bagi mereka yang berkemampuan).

Tentunya terdapat banyak kelebihan diwajibkan membayar zakat. Ia mempunyai kebaikan untuk kedua-dua pihak individu serta masyarakat dan ummah. Antara kelebihan zakat termasuk:

  • Membantu pembangunan ummah dan masyarakat kerana zakat yang dikutip akan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan termasuk fakir miskin, anak yatim dan juga para pelajar kurang berkemampuan
  • Menyatukan ummah dalam hal ekonomi, di mana sama-sama dapat berbincang cara terbaik untuk sama-sama maju dalam pengumpulan harta
  • Mewujudkan hubungan sesama insan di antara pemberi dan penerima zakat
  • Mengelakkan perasaan iri hati sesama insan dan malahan mungkin juga dapat memberi inspirasi kepada golongan penerima zakat
  • Menanamkan sifat bertanggungjawab dalam diri individu, terutamanya ketua keluarga
  • Menyucikan harta yang mungkin was-was bagi pembayar zakat
  • Salah satu peluang untuk meningkatkan ibadah adalah dengan membayar zakat ke atas kurniaan daripada Allah SWT

Fatwa Zakat Pendapatan

Sebenarnya, terdapat dua jenis zakat pendapatan, di mana seseorang individu perlu membayar salah satu atau mungkin kedua-duanya sekali jika cukup syarat nisab zakat.

Jenis yang pertama adalah zakat gaji. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan 'Zakat Gaji Beserta Kadarnya'. Hasil perbincangan, muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat pendapatan dan gaji adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan nisab zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Jenis yang kedua pula adalah zakat pendapatan professional, iaitu bagi individu tanpa pekerjaan kerja tetap (freelance) jadi tidak memperoleh pendapatan bulanan.

Bagi pendapatan professional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan 'Zakat Gaji & Zakat Pendapatan Professional'. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.
  2. Diwajibkan zakat ke atas pendapatan tahunan seseorang profesional kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.

Cara Kiraan Zakat Pendapatan

Cara kira zakat pendapatan adalah seperti berikut. Jika nisab zakat pendapatan adalah RM35,449.00, adakah ini bermaksud anda perlu membayar 2.5% daripada pendapatan anda jika ia lebih daripada jumlah ini dalam setahun? Tidak. Anda hanya perlu membayar zakat berasaskan jumlah yang tinggal selepas ditolak segala perbelanjaan keperluan dan perbelanjaan asas.

Dalil Zakat Pendapatan

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu." [Al-Baqarah (2): 267]


Kongsi artikel ini: