Zakat Perak
Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli.
Nisab zakat perak adalah (595 gram).
Dalil Wajib Zakat
Dalil Al-Quran:
وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابّ أَلِيمڢ ٣٤
Maksudnya: "Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya" (Surah At-Taubah : Ayat 34)
Sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar. Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar." (Hadis riwayat Abu Daud)
Kiraan Zakat Perak
Bagi logam perak, sama ada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih.
Contoh: 600 gram perak x RM2.45(segram pada 30 April 2014) x 2.5% = RM36.75
Nisab Zakat Perak
Nisab zakat simpanan adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas. Jumlah ini juga bersamaan dengan 595 gram nilai perak, bagi mereka yang mahu membayar zakat simpanan ke atas simpanan barang perak.
Kadar Wajib Zakat Perak
Jika simpanan anda mencapai kadar nisab zakat simpanan, kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5%. Sebagai contoh, jika jumlah simpanan anda daripada kesemua sumber simpanan berjumlah RM22,000, pengiraan kadar wajib zakat simpanan adalah seperti berikut: 2.5% x RM22,000 = RM550