Kira dan Bayar Zakat Perniagaan Anda Di sini
Zakat Perniagaan
Zakat Perniagaan
Aktiviti perniagaan merupakan salah satu cara beroleh pendapatan jadi ia boleh dikenakan zakat perniagaan. Pada dasarnya, ianya tidak jauh beza daripada zakat pendapatan, di mana ianya dikenakan ke atas para peniaga dan usahawan. Manakala zakat pendapatan pula lazimnya untuk mereka yang bekerja makan gaji. Namun, perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua kategori ini adalah bagaimana cara kiraan masing-masing. Cara pengiraan berbeza kerana melibatkan syarikat serta cara operasi bisnes tersebut.
Apa Itu Zakat Perniagaan?
Zakat perniagaan merupakan zakat yang perlu dibayar berdasarkan hasil atau pendapatan daripada aktiviti perniagaan. Aktiviti bisnes ini termasuk pelbagai bidang dan industri seperti perniagaan berasaskan pembuatan, perkhidmatan, jual beli barangan, perlombongan, pertanian, perladangan, perkapalan, logistik, pembekalan, pengedaran dan sebagainya.
Sementara itu, bentuk perniagaan yang dikenakan zakat termasuk perniagaan persendirian, perkongsian, dan malahan perniagaan perkongsian dengan rakan kongsi bukan Islam. Semua jenis syarikat, koperasi, gerai, perniagaan atas talian, perniagaan saham, dan apa sahaja aktiviti yang melibatkan pertukaran wang untuk barangan atau perkhidmatan dikira sebagai perniagaan dan perlu membayar zakat jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Kelebihan Membayar Zakat Perniagaan
Indahnya membayar zakat, tidak kira apa jenis zakat sekalipun sebagai amalan yang menyempurnakan ibadah kita kepada Allah SWT, dan juga membolehkan kita bantu-membantu sesama manusia. Bagaikan mendapat dua kali ganda bonus yang dirasai hasil daripada menunaikan tanggungjawab ini.
Secara khas pula, terdapat beberapa kelebihan kepada amalan membayar zakat perniagaan antaranya termasuk:
- Membersihkan hasil perniagaan daripada segala unsur tersalah timbang atau tersalah kira yang mungkin tidak kita sedari semasa melakukannya
- Menimbulkan rasa bersyukur ke atas rezeki yang dikurniakan pada perniagaan kita
- Juga menjadi dorongan untuk berusaha dengan lebih kuat lagi setelah diteliti hasil perniagaan pada sesuatu tahun, semoga dapat menyumbang dengan lebih banyak lagi kepada ummah dan masyarakat
- Rasa berpuas hati kerana dapat membantu golongan asnaf serta membantu membangunkan masyarakat hasil daripada sumbangan dan bayaran kita
- Meningkatkan taqwa kepada Allah SWT kerana dapat melihat sendiri bahawa membelanjakan harta ke jalan Allah tidak akan merugikan harta dan perniagaan
- Dan banyak lagi kelebihan lain membayar zakat yang mungkin tidak kita sedari
Syarat-syarat Wajib Membayar Zakat Perniagaan
Kondisi-kondisi yang mewajibkan pembayaran bagi individu adalah seperti berikut:
- Islam
- Merdeka
- Sempurna milik ke atas perniagaan
- Mencapai nisab
- Mencapai haul – iaitu cukup tempoh selama setahun
- Barangan itu diniatkan untuk perniagaan
- Perniagaan itu mestilah mematuhi hukum syarak
Bagi perniagaan yang haram dari sisi Islam seperti menjual arak, berjudi dan sebagainya adalah tidak wajib untuk dizakatkan.
Cara Mengira Kadar Bayaran
Tentunya cara mengira zakat perniagaan ada perbezaan dengan zakat pendapatan disebabkan beberapa faktor seperti pekerja dan kos bahan atau barangan.
Secara amnya, cara mengira bayaran yang perlu dibuat adalah seperti berikut:
- Pendapatan tunai (termasuk di bank) & modal + Nilai inventori + Nilai kredit (seperti pinjaman perniagaan) – Perbelanjaan & hutang perniagaan = Baki
- Baki daripada pengiraan di atas, jika ia mencukupi nilai nisab (atau melebihinya) kemudian didarab dengan kadar 2.5%. Jumlah ini merupakan jumlah yang perlu dibayar.
Untuk rujukan am, terma-terma berikut dijelaskan maksudnya:
Inventori: Stok barangan termasuk bahan mentah dan barangan untuk jualan
Perbelanjaan: Termasuk gaji pekerja, bayaran sewa pejabat atau tapak jualan, bil elektrik dan sebagainya.
Nisab dan Kadar Pembayaran
Nisab zakat perniagaan ditetapkan pada kadar 2.5% daripada keuntungan bersih setahun, iaitu setelah tamat tempoh haul. Nisab ini adalah berdasarkan nilai 85 gram emas, yang dianggarkan bersamaan dengan nilai RM35,449 pada kemas kini terakhir, iaitu pada Julai-Disember 2022. Bagaimanapun, perlu diambil kira bahawa nilai ini bergantung kepada kadar emas semasa. Untuk pengetahuan, kadar nisab zakat berdasarkan nilai perak pula adalah tertakluk kepada 595 gram perak.
Oleh itu, jika keuntungan dan nilai aset perniagaan anda mencapai atau melebihi RM21,432 ini, wajib dikenakan zakat perniagaan ke atasnya setelah cukup haul. Biasanya, kebanyakan peniaga atau pemilik syarikat mengira haul bermula daripada bulan Januari hingga bulan Disember. Kiraan ini menyenangkan pengiraan untuk tolak jumlah yang perlu dibayar daripada pengiraan cukai pendapatan atau cukai perniagaan bagi tahun tersebut.
Namun, disarankan bagi pembayar zakat yang mengikuti kalendar Masihi (iaitu Januari hingga Disember) agar mengikut kiraan yang telah ditetapkan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI), di mana nisab dikira sebanyak 2.577%. Ini kerana jumlah hari dalam satu tahun mengikut kalendar Masihi adalah lebih banyak berbanding setahun mengikut kalendar Hijriah. Dalam mencari rezeki, kita perlu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya jadi adalah elok jika kita jujur dalam mengira kadar dan nisab zakat, terutama sekali bila membayar zakat perniagaan.
Di Mana Boleh Zakat Simpanan Dibayar?
Zakat perniagaan boleh dibayar dengan mana-mana pemungut zakat di tempat anda bermastautin. Ia juga boleh dibayar secara atas talian dengan cara mengisi borang di atas.
Selamat menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan.