Zakat Simpanan
Secara umumnya, ramai umat Islam akan membayar zakat fitrah dan zakat harta. Namun, tidak ramai sedar bahawa dalam lingkungan zakat harta itu terdapatnya zakat simpanan. Biasanya kita akan membayar zakat perniagaan atau zakat pendapatan. Ramai yang terlepas pandang atau tidak tahu akan zakat ke atas wang simpanan, apatah lagi mengenai siapa yang wajib membayar zakat simpanan, nisab zakat simpanan dan kadar zakat simpanan.
Apa Itu Zakat Simpanan?
Zakat simpanan adalah zakat dikenakan ke atas wang simpanan perseorangan. Ia juga boleh dikenakan ke atas objek lain yang boleh diterima pakai secara umum dalam urusan jual beli. Contoh objek ini seperti emas atau perak yang boleh digunakan sebagai mata wang. Malah, zakat simpanan juga boleh dikenakan ke atas pelaburan seperti ASB, saham yang dipegang, bon simpanan, dan lain-lain.
Jenis-Jenis Simpanan Yang Boleh Dikenakan Zakat Simpanan
- Simpanan dalam bank atau institusi kewangan
- Simpanan wang di luar intitusi kewangan
- Simpanan ASB
- Sijil bon simpanan
- Pegangan saham
- Pelaburan jangka panjang
- Lain-lain jenis simpanan seperti emas dan sebagainya
Nisab Zakat Simpanan
Nisab zakat simpanan adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas. Jika simpanan anda melebihi nisab yang ditetapkan, anda wajib membayar zakat simpanan setelah cukup haul. Haul zakat simpanan adalah apabila cukup setahun.
Kadar Wajib Zakat Simpanan
Jika simpanan anda mencapai kadar nisab zakat simpanan, kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5%. Sebagai contoh, jika jumlah simpanan anda daripada kesemua sumber simpanan berjumlah RM22,000, pengiraan kadar wajib zakat simpanan adalah: 2.5% x RM22,000 = RM550.
Di Mana Boleh Zakat Simpanan Dibayar?
Zakat simpanan boleh dibayar secara atas talian dengan cara mengisi borang yang disediakan.